Dewan JKKR
Dewan JKKR terletak bersebelahan dengan pejabat Felda Sungai Behrang. Dewan ini digunakan dalam pelbagai aktiviti seperti mesyuarat, taklimat, perbincangan, jamuan dan sebagainya.
Taman Rekreasi
Felda Sungai Behrang juga mempunyai sebuah taman rekreasi. Ia dilengkapi dengan pelbagai kemudahan untuk tujuan beriadah. Lokasi taman ini adalah bersebelahan dengan jalan utama dan ini menjadikan tempat ini mudah dikunjungi oleh warga tempatan. Penduduk tempatan menamakan taman ini dengan nama ‘Taman Selesa’.
Taman ini juga amat sesuai untuk menenangkan fikiran dan aktiviti kekeluargaan. Taman ini juga dilengkapi dengan trek pejalan kaki yang boleh digunakan untuk aktiviti jogging. Selain itu, kawasan ini juga dilengkapi dengan tempat duduk yang boleh digunakan untuk tujuan berehat serta beberapa kemudahan permainan kanak-kanak.
Padang Bolasepak
Felda Sungai Behrang juga mempunyai sebuah padang bolasepak yang terletak berhampiran dengan kawasan Sekolah Agama Rakyat. Padang ini lebih dikenali dengan nama ‘Padang Botak’ mengikut kebiasaan panggilan oleh penduduk tempatan. Beberapa kejohanan bolasepak tempatan pernah dijalankan di padang bolasepak ini. Kebiasaannya, padang bolasepak ini sering digunakan oleh belia-belia pada waktu petang.
Pusat Akses Sekolah Kebangsaan Sungai Behrang
Pusat Akses Sekolah Kebangsaan Sungai Behrang mengamalkan konsep ala “cyber cafe” tetapi lebih menjurus kepada pembelajaran. Ia merupakan satu ruang pembelajaran yang disediakan bagi membolehkan murid membuat pembelajaran secara kendiri (self learning) dan mempelbagaikan gaya pembelajaran mereka. Murid boleh mencari dan memilih sumber pembelajaran secara sendiri mengikut kadar kendiri, terarah kendiri dan akses kendiri.
Matlamat & Objektif Pusat Akses Sekolah Kebangsaan Sungai Behrang ini ditubuhkan adalah:
- Membudayakan penggunaan ICT di sekolah
- Mengurangkan nisbah komputer dengan murid
- Meningkatkan masa penggunaan (contact hours) komputer oleh murid
- Meningkatkan kemahiran murid dalam mencapai maklumat
- Membolehkan murid melaksanakan pembelajaran kadar kendiri, terarah kendiri dan akses kendiri dengan lebih berkesan
- Meningkatkan penggunaan dan penguasaan kemahiran ICT murid untuk pengajaran dan pembelajaran
Pusat Akses Sekolah beroperasi semasa dan selepas waktu persekolahan. Ia juga digalakkan beroperasi pada hujung minggu dan cuti sekolah dengan syarat ada pengawasan oleh pihak sekolah yang boleh menjamin keselamatan peralatan dan boleh memantau penggunaan.
Murid boleh menggunakan Pusat Akses Sekolah ini untuk:
- Mencari maklumat daripada Internet untuk pengajaran dan pembelajaran
- Mengakses sumber maklumat seperti buku-buku, bahan bercetak atau bahan digital yang berkaitan
- Menyediakan tugasan dan slaid persembahan berkaitan dengan pembelajaran
- Berkomunikasi dengan guru dan murid lain melalui e-mel
- Berkolaborasi dengan murid lain
Keutamaan menggunakan kemudahan Pusat Akses Sekolah diberikan kepada murid. Warga sekolah lain termasuk pentadbir sekolah, guru, dan staf sokongan juga boleh menggunakan kemudahan Pusat Akses Sekolah ini.
Gelanggang Sukan Pelbagai Guna
Felda Sungai Behrang mempunyai sebuah gelanggang sukan pelbagai guna yang dibina oleh Kementerian Belia dan Sukan Malaysia. Gelanggang sukan pelbagai guna ini boleh digunakan dalam aktiviti sukan futsal, sepak takraw dan bola jaring. Gelanggang sukan ini terletak bersebelahan dengan taman permainan kanak-kanak yang terletak bersebelahan dengan jalan utama di Felda Sungai Behrang.
Seperti yang diselaraskan oleh Kementerian Belia dan Sukan, gelanggang sukan pelbagai guna ini diuruskan dan dikendalikan oleh persatuan penduduk dan persatuan belia setempat. Ini kerana Kementerian Belia dan Sukan berharap agar ia dapat memupuk minat persatuan penduduk dan persatuan belia setempat bagi menggerakkan aktiviti-aktiviti sukan di kawasan yang terlibat. Pihak pengurusan akan terus berkhidmat dari semasa ke semasa bagi menguruskan dan mengendalikan gelanggang pelbagai guna ini mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan agar objektif pembinaan gelanggang sukan pelbagai guna ini dapat mencapai matlamat yang diharapkan.
Sekolah Kebangsaan Sungai Behrang (S.K.S.B)
Sekolah Kebangsaan Sungai Behrang (S.K.S.B) telah mula beroperasi pada tahun 1968. Sekolah ini terletak di Jalan L, Felda Sungai Behrang, dan berada di kawasan bukit. Pada 6 Mei 1968, S.K.S.B hanya terdiri daripada 3 buah banggunan, 9 bilik darjah, pejabat, kantin, tandas, 3 buah rumah guru dan padang sukan. Bilangan murid pada waktu itu sebanyak 99 orang dan bilangan guru sebanyak 3 orang.
Pada tahun 1970, bilangan murid telah bertambah kepada 405 orang dan sekolah mula dibahagikan kepada 2 sesi, iaitu pagi dan petang.
Pada April 2002, sebuah blok 4 tingkat telah disiapkan dan ini merangkumi penggunaan bagi 8 bilik darjah, bilik muzik, bilik komputer, bengkel kemahiran hidup, bilik guru, bilik kaunseling, bilik mesyuarat, bilik sains dan dewan terbuka. Makmal komputer telah didirikan dengan permulaan sebanyak 11 buah komputer.
Pada awal 2003 pula, kelas pra sekolah, Pra Wawasan telah mula dibuka dan bilangan murid yang pertama menjalani kelas tersebut ialah seramai 25 orang.
Pada 2004, Bilik J-Qaf telah mula beroperasi dan kelas pra sekolah telah ditambah, Pra Germilang. Pusat akses telah diwujudkan pada tahun 2008 dengan menggunakan 10 buah komputer.
Pengetua
Encik Mohd Nadzir (6 Mei 1968 – 31 Disember 1983)
Encik Mansur (20 Mac 1984 – 1 Januari 1987)
Encik Alias (1 Januari 1987 – 25 Oktober 1988)
Encik Kamaruddin (16 Mei 1989 – 21 Jun 1998)
Puan Hajjah Ramlah (21 Jun 1998 – 16 Mac 2000)
Puan Fadzlah (16 Mac 2000 – 1 Oktober 2003)
Encik Abdul Zubiar Bin Zainol (23 Oktober 2003 – Sekarang)
Metadata Stesen Meteorologi
Felda Sungai Behrang adalah salah satu kawasan yang bertuah kerana memiliki sebuah stesen meteorologi yang dikendalikan oleh Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi. Antara peralatan meteorologi yang terlibat di stesen tersebut adalah tolok hujan dan AWS. Stesen meteorologi lain yang paling hampir terletak di Sitiawan, Perak. Stesen ini terletak di hadapan pejabat Felda, Felda Sungai Behrang. Berikut adalah maklumat yang berkaitan mengenai stesen meteorologi tersebut.
Nama Stesen : Stesen Felda Sungai Behrang
Nombor Stesen : 43347
Latitud : N 03° 46′ 48″
Longitud : E 101° 27′ 20″
Altitud : 46 m
Kategori : Stesen Auksiliari
Mula Beroperasi : 20 November 1970
Selamat Datang Ke Felda Sungai Behrang
Felda Sungai Behrang terletak lebih kurang 15 km dari Pekan Tanjung Malim, 8 km dari Pekan dari Slim River dan 5 km dari Pekan Behrang Stesen. Jarak dari ibu negeri iaitu Bandar Ipoh adalah sejauh 110 km dan jarak dari ibu negara iaitu Kuala Lumpur adalah sejauh 90 km.
Landmark yang paling hampir adalah Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS). Plaza tol yang terdekat adalah plaza tol Behrang (124), Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), dan jarak dari plaza tol tersebut ke Felda Sungai Behrang adalah sejauh 5 km.
Terdiri daripada lebih 400 buah keluarga yang keseluruhannya berbangsa Melayu. Ia dibuka pada tahun 1968 apabila bermulanya kumpulan peneroka peringkat pertama datang ke Felda Sungai Behrang ini untuk mengusahakan ladang getah yang diselia oleh pihak Felda. Felda Sungai Behrang pernah keluar dari senarai Tanah Rancangan Felda bermula pada tahun 2000 hingga 2005. Dalam tempoh itu, Felda Sungai Behrang telah dikenali sebagai Kampung Sungai Behrang. Pada tahun 2006, Felda Sungai Behrang telah disenaraikan semula sebagai salah satu Tanah Rancangan Felda di negeri Perak.
Antara kemudahan dan fasiliti yang terdapat di Felda Sungai Behrang adalah sekolah rendah, sekolah agama rakyat, sekolah tadika, masjid, 4 buah surau, klinik desa, padang bola, gelanggang takraw, gelanggang bola tampar, gelanggang serbaguna, taman permainan kanak-kanak, tanah perkuburan, pasar basah,homestay dan beberapa kedai runcit dan kedai makan.
Felda Sungai Behrang berada dalam kawasan Majlis Daerah Tanjung Malim, Dewan Undangan Negeri Kawasan Behrang dan Parlimen Bahagian Tanjung Malim.
-
Recent
-
Links
-
Archives
- January 2010 (1)
- December 2009 (7)
-
Categories
-
RSS
Entries RSS
Comments RSS













